OGOS 2025

Perjalanan Rentas Sempadan Antara Sarawak Dan Brunei Bakal Dipermudahkan Dengan Pengenalan Pas Perjalanan Khas


KUCHING, 27 Ogos 2025 - Pas perjalanan khas bakal diperkenalkan bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara Sarawak dan negara Brunei Darussalam bagi pengembara yang kerap dengan mengurangkan penggunaan setem pasport dan pengesahan imigresen. 

Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, ini merupakan antara inti pati perbincangan yang dipersetujui pada Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-26 yang berlangsung di Putrajaya pada Rabu. 

"Kita tadi ada berbincang di antara Malaysia dengan Brunei, pertamanya ialah mobiliti keluar masuk antara Brunei dan Malaysia. Mungkin sudah ada kaedahnya yang akan diumumkan kelak, tetapi ada persetujuan setakat ini.

"Kerajaan Malaysia dan Brunei akan berunding untuk mewujudkan perjalanan yang lancar dengan pengenalan pas khas yang mungkin boleh digunakan untuk dua bulan atau tiga bulan bagi laluan Brunei dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak 2025 di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada Rabu. 

Sementara itu, Premier Sarawak memberitahu antara lain yang diperbincangkan ialah mengenai persetujuan menyambungkan bekalan elektrik ke negara Brunei melalui Grid 275kV. 

"InsyaAllah Sarawak akan membekalkan elektrik kepada jiran kita Brunei Darussalam daripada Tudan ke Lumut, daripada Lumut ke Seria, dan daripada Seria ke Bandar Seri Begawan. 

"Alhamdulillah orang melihat Sarawak, kita akan menjadi 'Battery of Asean' yang mengeluarkan tenaga untuk Asean," jelas beliau.